Islamic Widget

Monday, December 13, 2010

Sedikit tentang Hari Asyura...






Assalamua'laikum WBT...



Menjelang ketibaan Hari Asyura pada hari Khamis ini bersamaan 10 Muharam 1432 Hijrah,suka Al Faqir menyampaikan sedikit pesanan dan amalan buat saudara-saudara bagi menambahkan lagi pahala dan keberkatan kita sebagai Umat Muhammadiyyah.

Tanpa memanjangkan lagi muqaddimah ini,Ana Al Faqir menulis dan menyenaraikan amalan-amalan serta sedikit dalil tentang pengamalan yang digalakkan oleh Kekasih kita iaitu Nabi Muhammad SAW.Justeru itu,dibawah saya menyenaraikan amalan-amalannya dan semoga hasil pembacaan saudara-saudara sekalian mendapat keberkatan dari Allah SWT.Insya Allah.....

AMALAN HARI ASYURA
  1. Melakukan sembahyang sunat
  2. Berpuasa
  3. Menghubungkan silaturrahim
  4. Bersedekah
  5. Membersihkan diri (mandi Sunat)
  6. Memakai celak (bagi lelaki)
  7. Menziarahi orang-orang alim
  8. Menziarahi orang-orang sakit
  9. Menyapu kepala anak-anak yatim
  10. Meluaskan makanan kepada ahli keluarga
  11. Memotong kuku
  12. Membaca Surah Al-Ikhlas 1000 kali
Al Allamah al Ujhuri RA berkata:

Daripada 12 jenis amalan yang telah disebut di atas,hanya dua sahaja daripadanya yang benar-benar THABIT daripada Rasulullah SAW berdasarkan Hadith yang sohih.Iaitu amalan berpuasa dan meluaskan makanan kepada anggota keluarga.

Berpuasa pada hari Asyura disunatkan dalam Islam berdasarkan Hadith Sohihaini (Bukhari dan Muslim),yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA berkata:

"Setelah Rasulullah SAW datang ke Madinah,Baginda SAW mendapati orang-orang Yahudi berpuasa pada Hari Asyur.Maka Rasulullah SAW bersabda kepada mereka,"Apakah hari yang kamu berpuasa ini?"Jawab mereka,"Ini ialah hari yang mulia,pada hari ini Allah telah menyelamatkan Nabi Musa AS dan kaumnya dan Allah telah meneggelamkan Firaun dan kaumnya.Maka Nabi Musa AS berpuasa kerana bersyukur dengannya dan kami pula berpuasa kerananya."Maka Rasulullah SAW bersabda,"kami adalah lebih berhak dan lebih utama ke atas Nabi Musa daripada kamu."Maka Rasulullah SAW berpuasa kerananya dan menyuruh para sahabat berpuasa kerananya"
(Sohih Muslim)

Begitu juga dengan kelebihan berpuasa dan bersedekah,dijelaskan melalui hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah ibn Amru ibn al 'As RA berkata:

"Sesiapa yang berpuasa pada hari Asyura,maka seolah-olah dia berpuasa setahun dan sesiapa yang bersedekah pada hari Asyura,seolah-olah dia bersedekah selama setahun."

Hadith ini dikeluarkan oleh Abu Musa al Madini RA
.

Diriwayatkan oleh Muslim dan Ibnu Hibban daripada Hadith Abu Qatadah (marfu'):Bahawa Nabi SAW bersabda:

"Puasa pada hari Asyura,akan mengkafarahkan dosa setahun (sebelumnya),manakala puasa hari Arafah akan mengkafarahkan dosa dua tahun;setahun sebelumnya dan setahun selepasnya yang akan datang."
(Sohih Muslim)

Hikmah berpuasa pada hari Arafah duberikan oleh Allah kelebihan melebihi puasa hari Asyura kerana hari Arafah ialah hari Nabi Muhammad SAW iaitu puasa hari Arafah dikhususkan kepada umat Muhammad SAW.Manakala hari Asyura ialah hari Nabi Musa AS (Nabi Musa AS diselamatkan daripada Firaun),maka kaumnya berpuasa pada hari tersebut.Rasulullah SAW merupakan Nabi yang paling mulia,maka sudah tentu puasa pada hari Arafah akan mengkafarahkan dosa 2 tahun.

Umat Islam juga digalakkan berpuasa sehari sebelum hari Asyura,ianya disebut sebagai hari Tasu'a' (hari kesembilan).

Berdasarkan Hadith yang diriwayatkan daripada Abu Ghatfan ibn Torif al Murri berkata: Aku mendengar Abdullah ibn Abbas RA berkata:Ketika Rasulullah SAW sedang berpuasa hari Asyura dan menyuruh sahabat Baginda berpuasa,mereka berkata:

"Wahai Rasulullah!Sesungguhnya ia (hari Asyura) adalah hari yang dimuliakan oleh orang Yahudi dan Nasrani.Maka Rasulullah SAW bersabda,"Pada tahun hadapan sekiranya diizinkan Allah,kami akan berpuasa pada hari yang kesembilan (Muharram)."Berkata Ibnu Abbas RA,"Maka tidak datang tahun berikutnya sehinggalah wafatnya Rasulullah SAW."
(Sohih Muslim)
Daripada Ibnu Abbas RA,bahawa Rasulullah SAW bersabda:

"Sekiranya aku masih hidup hingga ke tahun akan datang,sudah pasti aku akan berpuasa pada hari yang ke-9 (Muharram)."

Namun begitu,Rasulullah SAW ditaqdirkan wafat sebelum menjelang hari Tasu'a' (ke-9 Muharram) pada tahun berikutnya.Maka Ulama' mengandaikan bahawa Rasulullah SAW berkemungkinan hendak berpuasa pada hari ke-9 dan ke-10 Muharram.Oleh itu,Imam Syafie RA dan lain-lain mensunatkan puasa pada kedua-dua hari tersebut kerana dua hikmah.

Pertama : Untuk membezakan puasa orang Islam dengan puasa orang Yahudi yang berpuasa pada hari ke-10 Muharram sahaja.Manakala kita digalakkan berpuasa pada hari ke-9 dan ke-10 Muharram.

Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA,bahawa Rasulullah SAW bersabda:

"Berpuasalah kamu pada hari ke-9 dan hari ke-10 dan janganlah kamu menyerupai orang yahudi."

Kedua: Sebagai langkah berhati-hati kerana dikhuatiri timbul kekeliruan atau kesilapan dalam mengira awal muharram yang mungkin terdahulu sehari atau terlambat sehari.Maka dengan berpuasa kedua-dua hari tersebut,dapat mengelakkan kita daripada terlepas peluang untuk melakukan ibadah puasa dan ibadah yang lain pada hari Asyura.

Selain itu,kita juga digalakkan berpuasa 3 hari iaitu hari Asyura, sehari sebelum Asyura dan selepasnya,sebagaimana yang dinaskan oleh Imam Syafie Ra di dalam al Umm dan al Imla'.

Dalam Hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad RA,Rasulullah SAW bersabda:

"Berpuasalah kamu pada hari Asyura dan hendaklah kamu membezakannya dengan orang Yahudi,berpuasalah kamu sebelumnya (hari Asyura) sehari dan selepasnya sehari."
Ikhwan dan Saudara -saudara yang dimuliakan,

Kita juga disunatkan oleh Rasulullah SAW berpuasa pada 10 hari terawal Muharram.Kenyataan ini disertakan dengan sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Saiyidatina Aisyah RA daripada Nabi SAW,bahawa Rasulullah SAW bersabda:

"Sesiapa yang berpuasa pada hari-hari yang sepuluh hingga hari Asyura,akan mewarisi syurga Firdaus al A'la."
Untuk yang terakhirnya,

Allah SWT memberi ganjaran yang banyak dan amat besar bagi orang yang memperluaskan makanan ke atas keluarganya pada hari Asyura. Melalui hadith yang diriwayatkan daripada Jabir RA,beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

"Sesiapa yang meluaskan makanan ke atas diri dan ahli keluarganya pada hari Asyura maka diperluaskan oleh Allah (rezeki) ke atasnya sepanjang tahun tersebut."

Jabir RA berkata: Kami telah mencubanya dan kami telah mendapat natijah (keputusan) yang baik daripadanya.

Berkata Sufyan al Thauri RA: Aku telah mencubanya selama 50 tahun,maka kami tidak melihat melainkan mendapat kelapangan rezeki daripada Allah SWT.

Oleh yang demikian,beruntunglah bagi mereka yang beramal dengan amalan2 yang telah THABIT daripada Baginda SAW kerana apa yang telah disabdakan oleh Rasulullah semuanya Sahih dan benar.

Sementara itu,sedikit amalan buat Saudara-saudara sekalian pada malam Asyura dan pada harinya.Iaitu:

Telah berkata Sayyid Muhammad al Amir al Soghir RA,sesiapa yang membaca zikir di bawah sebanyak 70 kali pada hari Asyura,akan dipelihara oleh Allah daripada sebarang kemerbahayaan pada tahun tersebut.

HASBUNALLAHU WA NI'MAL WAKIL NI'MAL MAULA WA NI'MAN NASIR
"Cukuplah Allah sebagai pengurus kami,sebaik-baik tempat berserah,sebaik-baik penolong dan pembantu."
Amalan ini telah dilakukan oleh ramai Ulama yang tersohor dan mendapat natijah yang baik daripadanya....

Wallahu'alam.....

P/S:Dirujuk daripada buku Amalan Awal Muharram dan Hari Asyura oleh Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaluddin Al Maliki