Islamic Widget

Monday, December 13, 2010

Sedikit tentang Hari Asyura...






Assalamua'laikum WBT...



Menjelang ketibaan Hari Asyura pada hari Khamis ini bersamaan 10 Muharam 1432 Hijrah,suka Al Faqir menyampaikan sedikit pesanan dan amalan buat saudara-saudara bagi menambahkan lagi pahala dan keberkatan kita sebagai Umat Muhammadiyyah.

Tanpa memanjangkan lagi muqaddimah ini,Ana Al Faqir menulis dan menyenaraikan amalan-amalan serta sedikit dalil tentang pengamalan yang digalakkan oleh Kekasih kita iaitu Nabi Muhammad SAW.Justeru itu,dibawah saya menyenaraikan amalan-amalannya dan semoga hasil pembacaan saudara-saudara sekalian mendapat keberkatan dari Allah SWT.Insya Allah.....

AMALAN HARI ASYURA
  1. Melakukan sembahyang sunat
  2. Berpuasa
  3. Menghubungkan silaturrahim
  4. Bersedekah
  5. Membersihkan diri (mandi Sunat)
  6. Memakai celak (bagi lelaki)
  7. Menziarahi orang-orang alim
  8. Menziarahi orang-orang sakit
  9. Menyapu kepala anak-anak yatim
  10. Meluaskan makanan kepada ahli keluarga
  11. Memotong kuku
  12. Membaca Surah Al-Ikhlas 1000 kali
Al Allamah al Ujhuri RA berkata:

Daripada 12 jenis amalan yang telah disebut di atas,hanya dua sahaja daripadanya yang benar-benar THABIT daripada Rasulullah SAW berdasarkan Hadith yang sohih.Iaitu amalan berpuasa dan meluaskan makanan kepada anggota keluarga.

Berpuasa pada hari Asyura disunatkan dalam Islam berdasarkan Hadith Sohihaini (Bukhari dan Muslim),yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA berkata:

"Setelah Rasulullah SAW datang ke Madinah,Baginda SAW mendapati orang-orang Yahudi berpuasa pada Hari Asyur.Maka Rasulullah SAW bersabda kepada mereka,"Apakah hari yang kamu berpuasa ini?"Jawab mereka,"Ini ialah hari yang mulia,pada hari ini Allah telah menyelamatkan Nabi Musa AS dan kaumnya dan Allah telah meneggelamkan Firaun dan kaumnya.Maka Nabi Musa AS berpuasa kerana bersyukur dengannya dan kami pula berpuasa kerananya."Maka Rasulullah SAW bersabda,"kami adalah lebih berhak dan lebih utama ke atas Nabi Musa daripada kamu."Maka Rasulullah SAW berpuasa kerananya dan menyuruh para sahabat berpuasa kerananya"
(Sohih Muslim)

Begitu juga dengan kelebihan berpuasa dan bersedekah,dijelaskan melalui hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah ibn Amru ibn al 'As RA berkata:

"Sesiapa yang berpuasa pada hari Asyura,maka seolah-olah dia berpuasa setahun dan sesiapa yang bersedekah pada hari Asyura,seolah-olah dia bersedekah selama setahun."

Hadith ini dikeluarkan oleh Abu Musa al Madini RA
.

Diriwayatkan oleh Muslim dan Ibnu Hibban daripada Hadith Abu Qatadah (marfu'):Bahawa Nabi SAW bersabda:

"Puasa pada hari Asyura,akan mengkafarahkan dosa setahun (sebelumnya),manakala puasa hari Arafah akan mengkafarahkan dosa dua tahun;setahun sebelumnya dan setahun selepasnya yang akan datang."
(Sohih Muslim)

Hikmah berpuasa pada hari Arafah duberikan oleh Allah kelebihan melebihi puasa hari Asyura kerana hari Arafah ialah hari Nabi Muhammad SAW iaitu puasa hari Arafah dikhususkan kepada umat Muhammad SAW.Manakala hari Asyura ialah hari Nabi Musa AS (Nabi Musa AS diselamatkan daripada Firaun),maka kaumnya berpuasa pada hari tersebut.Rasulullah SAW merupakan Nabi yang paling mulia,maka sudah tentu puasa pada hari Arafah akan mengkafarahkan dosa 2 tahun.

Umat Islam juga digalakkan berpuasa sehari sebelum hari Asyura,ianya disebut sebagai hari Tasu'a' (hari kesembilan).

Berdasarkan Hadith yang diriwayatkan daripada Abu Ghatfan ibn Torif al Murri berkata: Aku mendengar Abdullah ibn Abbas RA berkata:Ketika Rasulullah SAW sedang berpuasa hari Asyura dan menyuruh sahabat Baginda berpuasa,mereka berkata:

"Wahai Rasulullah!Sesungguhnya ia (hari Asyura) adalah hari yang dimuliakan oleh orang Yahudi dan Nasrani.Maka Rasulullah SAW bersabda,"Pada tahun hadapan sekiranya diizinkan Allah,kami akan berpuasa pada hari yang kesembilan (Muharram)."Berkata Ibnu Abbas RA,"Maka tidak datang tahun berikutnya sehinggalah wafatnya Rasulullah SAW."
(Sohih Muslim)
Daripada Ibnu Abbas RA,bahawa Rasulullah SAW bersabda:

"Sekiranya aku masih hidup hingga ke tahun akan datang,sudah pasti aku akan berpuasa pada hari yang ke-9 (Muharram)."

Namun begitu,Rasulullah SAW ditaqdirkan wafat sebelum menjelang hari Tasu'a' (ke-9 Muharram) pada tahun berikutnya.Maka Ulama' mengandaikan bahawa Rasulullah SAW berkemungkinan hendak berpuasa pada hari ke-9 dan ke-10 Muharram.Oleh itu,Imam Syafie RA dan lain-lain mensunatkan puasa pada kedua-dua hari tersebut kerana dua hikmah.

Pertama : Untuk membezakan puasa orang Islam dengan puasa orang Yahudi yang berpuasa pada hari ke-10 Muharram sahaja.Manakala kita digalakkan berpuasa pada hari ke-9 dan ke-10 Muharram.

Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA,bahawa Rasulullah SAW bersabda:

"Berpuasalah kamu pada hari ke-9 dan hari ke-10 dan janganlah kamu menyerupai orang yahudi."

Kedua: Sebagai langkah berhati-hati kerana dikhuatiri timbul kekeliruan atau kesilapan dalam mengira awal muharram yang mungkin terdahulu sehari atau terlambat sehari.Maka dengan berpuasa kedua-dua hari tersebut,dapat mengelakkan kita daripada terlepas peluang untuk melakukan ibadah puasa dan ibadah yang lain pada hari Asyura.

Selain itu,kita juga digalakkan berpuasa 3 hari iaitu hari Asyura, sehari sebelum Asyura dan selepasnya,sebagaimana yang dinaskan oleh Imam Syafie Ra di dalam al Umm dan al Imla'.

Dalam Hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad RA,Rasulullah SAW bersabda:

"Berpuasalah kamu pada hari Asyura dan hendaklah kamu membezakannya dengan orang Yahudi,berpuasalah kamu sebelumnya (hari Asyura) sehari dan selepasnya sehari."
Ikhwan dan Saudara -saudara yang dimuliakan,

Kita juga disunatkan oleh Rasulullah SAW berpuasa pada 10 hari terawal Muharram.Kenyataan ini disertakan dengan sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Saiyidatina Aisyah RA daripada Nabi SAW,bahawa Rasulullah SAW bersabda:

"Sesiapa yang berpuasa pada hari-hari yang sepuluh hingga hari Asyura,akan mewarisi syurga Firdaus al A'la."
Untuk yang terakhirnya,

Allah SWT memberi ganjaran yang banyak dan amat besar bagi orang yang memperluaskan makanan ke atas keluarganya pada hari Asyura. Melalui hadith yang diriwayatkan daripada Jabir RA,beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

"Sesiapa yang meluaskan makanan ke atas diri dan ahli keluarganya pada hari Asyura maka diperluaskan oleh Allah (rezeki) ke atasnya sepanjang tahun tersebut."

Jabir RA berkata: Kami telah mencubanya dan kami telah mendapat natijah (keputusan) yang baik daripadanya.

Berkata Sufyan al Thauri RA: Aku telah mencubanya selama 50 tahun,maka kami tidak melihat melainkan mendapat kelapangan rezeki daripada Allah SWT.

Oleh yang demikian,beruntunglah bagi mereka yang beramal dengan amalan2 yang telah THABIT daripada Baginda SAW kerana apa yang telah disabdakan oleh Rasulullah semuanya Sahih dan benar.

Sementara itu,sedikit amalan buat Saudara-saudara sekalian pada malam Asyura dan pada harinya.Iaitu:

Telah berkata Sayyid Muhammad al Amir al Soghir RA,sesiapa yang membaca zikir di bawah sebanyak 70 kali pada hari Asyura,akan dipelihara oleh Allah daripada sebarang kemerbahayaan pada tahun tersebut.

HASBUNALLAHU WA NI'MAL WAKIL NI'MAL MAULA WA NI'MAN NASIR
"Cukuplah Allah sebagai pengurus kami,sebaik-baik tempat berserah,sebaik-baik penolong dan pembantu."
Amalan ini telah dilakukan oleh ramai Ulama yang tersohor dan mendapat natijah yang baik daripadanya....

Wallahu'alam.....

P/S:Dirujuk daripada buku Amalan Awal Muharram dan Hari Asyura oleh Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaluddin Al Maliki

Thursday, December 9, 2010

Sejarah Awal Muharram......

Assalamualaikum W.B.T


Bersempena Awal Muharram pada tahun ini,saya Al faqir Ilallah Al Qawiyy ingin menyampaikan atau menukilkan sedikit sejarah ataupun perkara-perkara yang telah berlaku dalam bulan yang penuh mulia ini.Sejarah gilang-gemilang yang telah terjadi didalam bulan yang mulia ini memberikan manfaat yang terbesar bagi mereka yang mengaku sebagai Umat Muhammadiah pada zaman ini dan juga kepada mereka yang cinta kepada Ahli Bayt Saiyidina Rasululillah.

Sebagaimana sabda Rasulullah:

"Akan datang pada manusia satu zaman,orang yang sabar berpegang teguh pada agamanya,seperti orang yang menggenggam bara api" (Al Hadith)

Oleh itu,berdasarkan kalam atau hadith yang telah disabdakan oleh baginda kepada umatnya,ia menunjukkan bahawa zaman itu,ahli-ahli agama,para ulama',ustaz-ustazah,para pendakwah dan mereka yang berpegang teguh pada agama serta mereka yang membawa Syiar Islam seolah-olah mereka ini ditindas oleh golongan-golongan yang jauh dari agama islam,mereka yang tidak menunaikan solat,kalangan mereka yang jahil dan dungu mengenai agama Islam.Dengan itu,mereka dengan penuh TAKABBUR dan RIYA' dengan kemewahan dunia bermegah-megah dengan nikmat yang dikurniakan oleh Allah sehingga lupa daripada mana mereka menerimanya.

Firman Allah:

"Jika engkau bersyukur,aku akan tambahkan nikmatku dan jika engkau kufur
sesungguhnya azabku yang pedih untuk mereka yang sedemikian."

Allah Subhanahu Wa Taala telah memberitahu kepada hambanya tentang perkara tersebut.Tetapi pada hari ini,mereka yang Allah kurniakan mereka nikmat yang melimpah-ruah adalah sebenarnya untuk menguji mereka,ada dikalangan yang Allah kurniakan nikmat yang banyak sebenarnya untuk menjauhkan dan menambahkan kesesatan mereka di dunia ini.Mereka yang bersifat sedemikian senantiasa tidak merasa cukup dengan nikmat yang Allah Taala limpahkan kepada mereka tetapi Tuan-tuan dan Saudara-saudara sekalian,mereka yang TAAT kepada perintah Allah senantiasa merasa cukup dengan pemberian dan rezeki yang Allah Taala kurniakan kepada mereka.Inilah perbezaan orang atau golongan yang dinamakan sebagai Syakir Nikmat dan kufur nikmat,maka saudara-saudara sekalian pandai-pandailah antum semua bezakan yang mana baik untuk diamalkan dan yang mana buruk untuk dijauhkan.

Ikhwan dan Ahbab yang saya muliakan,

Sambutan Maal Hijrah atau tahun baru Islam tahun ini,sebenarnya merecyclekan kembali peringatan kita terhadap sejarah Islam.Yang mana,pada zaman dahulu kaum muawiyyah amat menyintai jawatan yang tinggi-tinggi sehingga sanggup membunuh mereka yang tidak taat dan patuh kepada pemerintahan mereka.Itulah sebahagian Muawiyyah yang terlampau gilakan pemerintahan.


Insya Allah pada hari ini ana Al Faqir IlallAh Al Ghani akan menukilkan kisah selepas berlaku pembunuhan Saiyidina Hussien RadhiAllahu anhu di karbala.Tetapi sebelum itu,suka ana disini berkongsi sedikit ilmu kepada Saudara-saudara sekalian makna 'KARBALA',berdasarkan kalam Syeikhuna Muhammad Fuad Al Maliki,'KARBUN' ialah kemurungan atau kesedihan manakala 'BALA' ialah Bala atau Malapetaka....Teruskan membaca kisah ini dan hayatilah....

MUTIARA KATA:

Dan sesungguhnya inilah jalan-Ku yang lurus maka ikutilah dia dan jangan kamu ikuti jalan-jalan (lainnya) sebab jalan-jalan itu akan mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. Demikianlah Allah berwasiat kepada kamu mudah-mudahan kamu bertaqwa.” (QS. Al An’am : 153)


SAIDINA HUSSEIN R.A. SYAHID DI KARBALA


Tragedi gugurnya al-Hussein r.a secara mengerikan itu mendorong tokoh-tokoh riwayat dan para penulis sejarah Islam untuk mengadakan penyelidikan. Hasil dari penyelidikan dan pengamatan yang mereka lakukan setelah terjadinya peristiwa itu, mereka tuangkan dalam tulisan-tulisan berupa riwayat menceritakan berbagai akibat setelah terjadinya pemenggalan kepala cucu Rasulullah SAW.
.
Seorang penulis Islam kenamaan, Ibnu Hajar, dalam bukunya berjudul "Ash-Shawa'iqul-Kuhriqah" halaman 116, mengungkapkan bahawasepeninggalan al-Hussein r.a. ternyata tak ada seorang pun yang terlibat dalam pembunuhan itu, yang terhindar dari seksa dunia setimpal dengan perbuatannya. Ada yang mati terbunuh, ada yang buta dan ada pula yang secara tiba-tiba mukanya berubah warna menjadi hitam lebam. Semuanya itu terjadi dalam waktu tak seberapa lama sejak al-Hussein r.a. wafat.
.
Dalam bukunya yang berjudul "Tahdizibut-Tahdzib" Jilid II halaman 335, Ibnu Hajar juga mengetengahkan kisah an-Numairiy yang berasal dari 'Ubaid bin Jinadah. Kisah tersebut mengungkapkan peristiwa yang dialami seorang tua yang pernah melibatkan diri dalam pembunuhan terhadap al-Hussein r.a. Orang tua itu membusungkan dadanya hanya kerana merasa terlibat langsung dalam pembunuhan terhadap al-Husein. Dengan bangga ia mengatakan: "Lihatlah, aku tetap selamat... tak ada bencana apapun yang menimpa diriku!"
.
Tak lama setelah ia mengucapkan perkatan tersebut, lampu minyak berada tidak jauh dari tempat duduknya tiba-tiba memudar. Dikiranya sumbu lampu itu hampir habis. Ia segera bangkit dari tempat duduknya mendekati lampu untuk berusaha memperbaiki sumbunya. Pada saat ia sedang menarik sumbu, api yang semulanya tampak hampir padam tiba-tiba membesar kembali dan membakar jari-jarinya. ia berusaha keras memadamkan api yang menyala di tangannya, tetapi tidak berhasil, bahkan api menjalar ke bagian-bagian tangannya yang berlumuran minyak. Dalam keadaan panik ia mencuba memadamkan api dengan memasukkan tangan ke dalam mulut, tetapi malang... api bukan menjadi padam malah menyambar janggutnya yang telah memutih tetapi masih cukup lebat.
.
Mukanya terbakar dan ia melolong-lolong kesakitan. Akhirnya api membakar pakaian yang sedang dikenakannya sehingga seluruh tubuhnya turut terbakar. Bagaikan sebuah obor besar ia lari kebirit-birit keluar dari rumah menerjunkan diri ke dalam Sungai al-Furat yang tidak seberapa jauh letaknya. Beberapa saat lamanya ia tidak muncul di atas permukaan air. Banyak orang menunggu-nunggu di tepi sungai ingin menyaksikan apa yang sedang terjadi pada diri orang tua itu. Ketika ia muncul di permukaan air, ternyata telah mati dan tubuhnya hangus seperti gumpalan arang! Kebenaran kisah tersebut diperkuat oleh sejarawan Muslim terkenal, at-Thabariy, dalam bukunya yang berjudul "Dzakha'irul-'Uqba" halaman 145.
.
Dalam buku yang sama, Ibnu Hajar juga mengemukakan sebuah riwayat tentang pembunuh al-Hussein r.a. Peristiwanya terjadi ketika si pembunuh itu menyerahkan kepala cucu Rasulullah SAW kepada 'Ubaidillah bin Ziyad, penguasa daerah Kufah. Kerana besar harapan akan memperoleh ganjaran istimewa, si pembunuh itu menyerahkan kepala al-Hussein r.a. sambil bersyair: "Akan kupenuhi kantongku dengan emas dan perak. Sebagai ganjaran membunuh raja tanpa mahkota. Seorang yang pernah sembahyang pada dua kiblat. Berasal dari keturunan manusia termulia. Akulah pembunuh orang terbaik, ayah bondanya..."
.
Akan tetapi ketika Ibnu Ziyad mendengar bait terakhir dari syair itu, dengan marah ia menukas: "Kalau engkau mengetahui kemuliaannya itu, mengapa ia kau bunuh? Tidak, demi Allah, engkau tidak akan mendapat ganjaran baik dari aku. Malah engkau kuikut-sertakan bersama dia!" Habis mengucap kalimat-kalimat tersebut, Ibnu Ziyad langsung memerintahkan salah seorang pengawal untuk membunuh orang yang baru saja mendendangkan syair dengan harapan akan menerima ganjaran besar.
.
Ada baiknya juga jika kami kemukakan juga riwayat lain lagi, yang ditulis oleh Ibnu Hajar dalam buku yang sama halaman 119. Peristiwanya terjadi ketika 'Umar bin Sa'ad bersama pasukannya membawa kepala al-Hussein r.a., Ibnu Hajar menulis sebagai berikut: "Setiap berhenti di suatu tempat untuk beristirehat, para pengawal kepala al-Husein r.a. selalu menancapkan kepala itu pada hujung tombak. Seorang pendeta Nasrani yang bertempat tinggal di sebuah biara yang dilewati rombongan, terkejut melihat sebuah kepala manusia tertancap pada hujung tombak, ia lalu bertanya ingin mengetahui siapakah orang yang dipenggal kepalanya itu. Ketika mendapat jawapan bahawa kepala itu adalah kepala al -Hussein r.a. putera Siti Fatimah binti Rasulullah SAW, dengan marah ia menyahut: "Alangkah buruk perbuatan kalian!" Saat itu juga ia minta agar kepala al-Hussein r.a. boleh disemayamkan semalam di dalam biaranya. "Untuk itu aku sedia membayar 10,000 dinar!", katanya lebih lanjut. Tentu saja permintaan pendeta itu diterima baik oleh Sa'ad dan rombongannya.
.
Kepala al-Hussein r.a. segera dibawa masuk oleh pendeta itu ke dalam biara, kemudian dicuci bersih-bersih dan diberi wewangian secukupnya. Semalam suntuk kepala itu dipangkunya sambil menangis hingga pagi hari. Keesokan harinya pendeta itu langsung menyatakan diri masuk Islam, kerana pada malam harinya ia menyaksikan cahaya terang memancar ke langit dari kepala al-Hussein r.a. Setelah memeluk Islam, ia meninggalkan biaranya dan hingga akhir hidupnya ia merelakan diri bekerja sebagai pembantu Ahlul-Bait...

Demikianlah menurut Ibnu Hajar. Dengan sekelumit riwayat yang kami kutip dari penulis Islam terkenal itu, terbuktilah bahawa tindakan pembunuhan sewenang-wenang terhadap cucu Rasulullah SAW mendorong semangat para penulis sejarah untuk mengungkapkan lebih jauh peristiwa yang menyedihkan itu.
.
(Petikan: 'Al Husain bin Ali r.a.: Pahlawan Besar dan Kehidupan Islam pada Zamannya' oleh H.M.H. Al Hamid Al Husaini, hlm 373.)